Pasca pandemik Covid-19, lebih banyak syarikat dan perniagaan telah berpindah ke dunia dalam talian secara sepenuhnya atau sebahagian daripadanya. Lebih ramai pekerja yang sebelum ini bergantung kepada penggunaan kertas dan komunikasi secara bersemuka kini berdepan dengan realiti bahawa sekiranya mereka tidak mengasah kemahiran teknologi yang diperlukan, mereka mungkin tidak lagi memiliki pekerjaan. Mereka juga akan sukar mendapatkan pekerjaan baharu.
Di saat inilah pentingnya untuk kita menjadi celik digital. Malah, bukan itu saja. Kita juga memerlukan kecekapan digital. Tidak sekadar memiliki kemahiran, kita patut tahu cara untuk menggunakannya selain mempunyai minat, kepercayaan dan kesungguhan untuk menggunakan teknologi dengan betul agar mendapat hasil yang lebih baik.
Semua ini bukanlah menjadi tanggungjawab seseorang individu sahaja. Syarikat dan organisasi juga harus memainkan peranan dalam membantu menyediakan peluang dan cara untuk para pekerja meningkatkan kecekapan digital mereka. Majikan dan pemimpin boleh menyokong usaha ini melalui latihan dan pembangunan (seminar, bengkel, kursus) atau sistem pementoran di mana pekerja berpengalaman boleh membimbing rakan sekerja yang lain.
Kemahiran dan kecekapan digital akan mengukuhkan lagi tenaga kerja dan tempat kerja dalam mengharungi pandemik dan cabaran-cabarannya. Ia juga merupakan peringatan yang menepati waktu untuk kita menerima dan menyepadukan teknologi ke dalam perniagaan dan organisasi memandangkan kita takkan mungkin dapat mengelak daripadanya. Masa depan sudah tiba dan menuntut perubahan, maka kita perlu turut sama mengiringi perubahan tersebut.