Semakin dunia melonjak ke arah kemajuan moden, semakin kehidupan seharian kita dipenuhi dengan pelbagai teknologi maklumat dan komunikasi. Namun tidak semua orang mempunyai penggunaan dan akses yang sama kepada teknologi ini. Ketika sebahagian pihak meluncur maju ke hadapan dan meningkatkan kepintaran mereka, ada juga yang ketinggalan disebabkan kekangan dan halangan oleh status sosioekonomi. Jarak inilah yang dikenali sebagai ‘Jurang Digital’.
Peralihan kepada gaya hidup maya akibat pandemik Covid-19 kini meluaskan dan menjelaskan lagi jurang sedia ada. Apabila tugasan kerja dan pendidikan beralih ke platform dalam talian, mereka yang tidak memiliki sambungan internet, ketiadaan peranti seperti komputer, tablet dan telefon pintar, malah yang juga kurang berpengetahuan terpaksa bergelut dengan ketidakadilan.
Apakah implikasi semua ini terhadap mereka yang tidak celik digital? Apa yang pasti, jurang digital telah menyumbang kepada jurang pendapatan yang tidak seimbang sekali gus mengakibatkan penindasan mobiliti sosial dan ekonomi. Tanpa mobiliti, ia turut mewujudkan kitaran kemiskinan. Tanpa pengetahuan tentang teknologi dan ketiadaan akses kepada peranti seseorang tidak berpeluang untuk menyertai dunia teknologi seperti mana penduduk dunia yang lain. Setiap hari, perniagaan, perdagangan dan maklumat semakin berkembang pesat dalam talian. Mereka yang tidak berada dalam dunia tersebut akan ketinggalan dalam mendapatkan maklumat dan peluang berbanding sebahagian besar komuniti yang aktif. Maka, jurang ini semakin besar.
Ahli komuniti yang kurang bernasib baik pula seterusnya mendapati kerja-kerja kasar seperti kerani pentadbiran juga memerlukan kemahiran komputer. Oleh kerana organisasi telah beralih kepada digital, para pekerja turut melalui fasa peralihan ini. Mereka yang tidak berupaya berbuat demikian terpaksa melakukan tugas-tugas tidak penting atau yang tidak memerlukan kemahiran. Akhirnya, kualiti dan standard kehidupan mereka semakin rendah.
Walau bagaimanapun, jurang digital ini bukan sekadar terbentuk hasil daripada masalah untuk mendapatkan peranti. Di Malaysia, terdapat 20 juta rakyat yang memiliki telefon pintar. Namun akses sahaja tidak mencukupi. Pada awal tahun 2017, kami telah melawat Kampung Katong, sebuah perkampungan orang asli yang terletak di pedalaman hutan Gerik, Perak. Terdapat sebuah pusat komuniti di sini di mana salah seorang sukarelawan dan guru antarabangsa kami, Ante, tinggal dan mengajar. Kedudukan kampung ini sangat jauh. Untuk tiba ke kampung ini dari Kuala Lumpur, anda perlu melakukan perjalanan selama 4 jam menaiki kereta, sebelum menaiki bot selama sejam setengah. Ramai penduduk kampung ini memiliki telefon pintar. Mereka suka mengambil gambar dan boleh mengendalikan serta memahami asas penggunaan peranti dan fungsi-fungsinya.
Tetapi adakah dengan memiliki sebuah peranti menjamin bahawa peluang akan terbuka luas dan masa depan anda lebih cerah? Tidak semudah itu. Seseorang boleh dibekalkan telefon pintar dan data mudah alih, tetapi tanpa pengetahuan dan cara menggunakannya, mereka tidak boleh berbuat apa-apa. Kita semua sedia maklum bahawa selain memberikan hiburan melalui video, permainan dan media sosial, telefon pintar juga boleh memberikan manfaat sebagai gerbang kepada peluang yang lebih baik sekiranya kita mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk menggunakannya ke arah itu. Ia boleh menghubungkan anda ke dunia yang menjangkaui sempadan geografi dan menjadi sumber pendapatan.
“Kita bukan sahaja perlu menyediakan peralatan yang diperlukan tetapi mengajar mereka cara untuk menggunakannya.”
Oleh kerana kita memahami bahawa celik digital boleh mentransformasikan seseorang, masalah jurang digital ini mesti ditangani, kerana ia semakin luas dengan setiap minit yang berlalu. Di SOLS 24/7 kami berhasrat untuk membina sesuatu yang berfungsi sebagai jambatan yang boleh merapatkan jurang tersebut. Sejujurnya, ia bukanlah satu tugas yang mudah, namun kami tetap melakukannya kerana menganggap ia sebagai satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan. Itu saja.